JOHOR BAHRU 3 Mei – Apa jua usaha memulihkan kembali Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO hendaklah dilakukan tanpa kompromi terhadap kuasa dan hak Melayu.
Beberapa peserta Kongres Permuafakatan Melayu yang ditemui berpendapat UMNO tidak perlu terus tunduk kepada permintaan rakan komponen BN yang lain kerana tuntutan-tuntutan itu tidak akan berakhir.
Setiausaha Satu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 sedang menyaksikan politik toleransi mengambil tempat dalam BN.
“UMNO dalam BN akan tawar-menawar (dengan komponen lain). Semasa UMNO kuat, ia mampu pertahan semua milik Melayu, tetapi banyak perkara berlaku dalam masa UMNO tidak kuat.
“MIC dan MCA secara terbuka meminta pelbagai perkara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu pun cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Kongres Permuafakatan Melayu, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, sesetengah orang melihat usaha memulihkan kembali BN pada masa ini mungkin boleh dilakukan dengan mendengar tuntutan kaum Cina dan India.
Bagaimanapun katanya, sebahagian besar tuntutan itu mungkin bertentangan dengan hak dan keistimewaan orang Melayu.
“Tuntutan akan terus berlaku atas kepentingan kaum,” katanya.
Beliau berkata, tindakan memohon maaf oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai isu keris Panca Warisan baru-baru ini juga secara tidak langsung memperlihatkan hak Melayu terhakis akibat tekanan dan permintaan daripada kaum lain.
“Ini semua berlaku (permohonan maaf) di kala tuntutan semakin kuat dan kita terperangkap dalam tuntutan-tuntutan itu,” katanya.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman pula berkata, apabila ada kompromi dalam perkara-perkara pokok hak Melayu, maka lama-kelamaan hal-hal kecil pun akan dituntut.
“Ini hanya meletakkan orang Melayu dalam keadaan tidak selesa dan menjadikan mereka tidak penting lagi walaupun orang Melayu adalah kaum asal di negara ini.
“Malaysia bukan negara imigran seperti Amerika Syarikat. Maka hak penduduk asal tidak boleh dipersoalkan,” katanya.
Naib Presiden Persatuan Anak- anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Al Habshee berpendapat, perlu ada usaha untuk mendidik generasi muda pelbagai kaum di negara ini mengenai pengertian sebenar kontrak sosial.
“Pendidikan kita tidak menekankan hal-hal berkaitan kontrak sosial dan ini perlu diajar supaya mereka mengetahuinya,” katanya.
Katanya, apabila kaum bukan Melayu memahami kontrak sosial berkenaan, maka tidak akan wujud permintaan-permintaan yang luar biasa dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan