GENERASI muda Melayu perlu diingatkan tidak terperangkap dengan gagasan 'Malaysian Malaysia' kerana kewujudan dan kemerdekaan negara ini hasil perjuangan bangsa Melayu sendiri.
Ahli Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ), Datuk Dr Abdul Malik Munip, berkata orang Melayu tidak patut berpegang kepada prinsip gagasan dibawa DAP itu, tetapi sebaliknya perlu merenung kembali perjuangan bangsa yang diterajui Umno.
"Generasi baru Melayu perlu sedar jika mereka terpengaruh dengan gagasan itu, ia boleh membawa bangsa Melayu hilang paksi kuasa yang dijamin dalam Perlembagaan negara.
"Kita semua adalah hamba kepada idea, malangnya generasi muda Melayu terperangkap dalam idea yang bercanggah. Falsafah bangsa Melayu sudah lama diberikan, namun kita terlupa atau tidak mengetahuinya langsung," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Perlembagaan Malaysia', semalam.
Abdul Malik berkata, Umno sebenarnya memiliki keistimewaan tersendiri kerana parti berkenaan masih relevan dalam dunia yang kini serba berubah.
Dalam pada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Muhammad, berkata perjuangan bangsa Melayu perlu diserasikan dengan Islam yang juga agama rasmi negara.
"Kita menuntut hak kita, kebenaran yang berhak. Orang bukan Melayu tidak patut takut kerana orang Melayu berpegang kepada agama Islam dan kami tidak akan melanggar batas," katanya ketika membentangkan kertas kerja tajuk yang sama.
Justeru, beliau berharap penyatuan bangsa Melayu dapat dilakukan menerusi agama Islam kerana agama berkenaan sememangnya menuntut keadilan untuk semua pihak.
Sementara itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TPM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata permuafakatan Melayu perlu bermula dengan mengembalikan semula hak yang hilang dan terhakis akibat kerenah sendiri.
Sambil memberi contoh, orang Melayu sendiri melepaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Mohd Azmi berkata, begitu juga halnya dengan soal tanah milik Melayu yang banyak terjual dan tergadai, manakala budaya bangsa Melayu juga dicabuli dengan sewenang-wenangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan