Rabu, 7 Mei 2008

Ilmu kunci kedaulatan Melayu

PUTRAJAYA 5 Mei - Orang Melayu diingatkan bahawa kunci kedaulatan mereka di negara ini hanya boleh ditemui jika diri mereka dilengkapi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi.

Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, beliau sebenarnya amat risau dengan gelagat yang ditunjukkan oleh sebahagian besar anak muda Melayu yang terang-terang mengabaikan pelajaran.

Tegasnya, tanpa ilmu pengetahuan usahkan kedaulatan mustahil diperoleh, malah lebih teruk lagi orang Melayu akan terumbang-ambing dan merempat di tanah air sendiri.

"Memang Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu milik orang Melayu dan pada masa sama kita tidak pula menidakkan hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Namun jika tidak ada pelajaran dan kebolehan dalam persaingan dunia global sekarang, kita pasti akan hilang segala-galanya. (Penguasaan) ilmu pengetahuan itulah kunci kedaulatan Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kongres Permuafakatan Melayu semalam yang sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap yang dikenali sebagai Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.

Menurut Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu itu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar.

Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya, termasuk syor menubuhkan MMMM.

Tiada ulasan: