ENTAH untuk ke berapa kalinya kita mendengar seruan agar dua parti yang mempunyai ahli Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas bersatu. Terbaru, seruan itu dibuat oleh peserta-peserta Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru.
Jika kenyataan mereka diteliti, mereka bukanlah mendesak supaya UMNO dan Pas membuang ideologi politik masing-masing sebaliknya mencari formula untuk bersatu bagi menjayakan program-program 'menyelamatkan' orang Melayu dalam isu-isu tertentu.
Ketika ini 'formula' berkenaan seolah- olah sukar untuk ditemui atau mungkin ia sengaja tidak dicari dalam soal meletakkan titik persamaan bagi menyatukan orang Melayu dalam kedua-dua parti berkenaan. Perbezaan politik tidak harus dijadikan sempadan konkrit yang seolah-olah tidak boleh diruntuhkan bagi memberi laluan kepada penyatuan Melayu.
Hakikatnya, tidak salah untuk pemimpin UMNO datang berbincang dengan pemimpin Pas dengan keris bersilang atau pemimpin Pas datang menghulurkan silaturrahim dengan berjubah dan berserban, apa yang lebih penting daripada itu ialah titik persamaan dalam usaha memperjuangkan isu-isu tertentu melibatkan orang Melayu.
Sama ada hendak diakui atau tidak, penyatuan dan usaha memperjuangkan hak dan isu orang Melayu hanya mampu dijayakan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas. Jika kedua-dua parti ini mencapai kata sepakat sudah pastilah laluan ke arah itu tidak akan menjadi masalah.
Tetapi masalah yang berlaku sekarang ialah perbezaan ideologi politik sering sahaja menjadi penghalang kepada kedua-dua parti berkenaan. Kita sering mendengar bagaimana ada pemimpin Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dengan alasan UMNO memperjuangkan sekular dan ada pula pemimpin UMNO yang menganggap Pas mengamalkan assabiyah.
Kesudahan tiada kata sepakat yang dicapai. Harapan untuk melihat UMNO dan Pas duduk semeja bagi membincangkan hak dan isu orang Melayu terus menjadi impian yang tidak kesampaian biarpun sudah acap kali seruan dibuat agar mereka bersatu.
Apa yang perlu difahami, selagi UMNO dan Pas tidak mencapai kata sepakat dan dilihat tidak mampu duduk semeja untuk berbincang selagi itulah orang Melayu tidak akan dilihat sebagai kelompok yang harus digeruni lagi. Orang Melayu akan dilihat tidak mempunyai sebarang perlindungan kerana mereka sendiri berpecah antara satu sama lain.
Selain dalam Pas dan UMNO, orang Melayu juga terjerumus dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa kelompok lain sehingga menjadikan suara orang Melayu semakin lemah dalam memperjuangkan isu dan hak melibatkan kepentingan kaum itu.
Oleh itu, masanya sudah tiba untuk pemimpin-pemimpin parti politik Melayu memikirkan dengan serius bahaya yang sedang menanti jika mereka terus berpecah belah dan terlalu degil untuk duduk semeja bagi membincangkan kepentingan Melayu.
Tidak usahlah mengeluarkan hujah dangkal dengan membuat seruan supaya penyatuan hanya boleh dilakukan melalui perpaduan Islam, bukankah di Malaysia ini, orang Melayu itu Islam dan Islam itu berkaitan rapat dengan orang Melayu? Soal perpaduan Islam akan terwujud dengan sendiri apabila orang Melayu bersatu kerana tidak ada mana-mana orang Melayu sama ada dalam Pas, UMNO atau PKR akan menolak Islam.
Tetapi perpaduan Islam tidak akan tercapai selagi orang Melayu berpecah akibat ideologi politik berbeza dan ia diburukkan lagi dengan tafsiran Islam mengikut pandangan masing-masing. Jika orang Melayu terus berpecah, Islam juga tidak akan terjamin di bumi Malaysia ini.
Perkembangan politik tanah air sejak kebelakangan ini harus memberikan kesedaran kepada orang Melayu sama ada UMNO atau Pas bahawa hak orang Melayu semakin rapuh. Mereka tidak mempunyai banyak kekuatan untuk mempertahankannya.
Di beberapa negeri biarpun Menteri Besarnya adalah Melayu, ia belum tentu dapat memberi jaminan bahawa hak Melayu akan dipertahankan, ini kerana seperti mana kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling, kuasa eksekutif Menteri Besar itu tidak kuat.
Justeru sementara sesetengah parti politik boleh berbangga berikutan pencapaian dalam pilihan raya umum lalu, mereka juga harus berfikir di luar lingkungan kepentingan politik masing-masing iaitu mengenai masa depan orang Melayu.
Jika orang Melayu terus berpecah-belah dan terlalu sukar untuk bersatu semata-mata kerana ideologi politik, ia sudah pasti akan membuka laluan yang lebih luas kepada pihak-pihak tertentu bagi melemahkan kekuatan orang Melayu. Mungkin kesannya tidak dapat dilihat sekarang tetapi bagaimana 10 tahun atau 20 tahun akan datang?
Oleh itu, 'formula ampuh' itu harus dicari, bukan sahaja oleh UMNO dan Pas tetapi juga semua orang Melayu yang cintakan bangsa dan agamanya. Jika mereka menganggap kenapa perlu kelam kabut sedangkan kerajaan masih dikuasai oleh BN yang ditunjangi oleh UMNO manakala di beberapa negeri biarpun pembangkang tetapi Menteri Besar ialah orang Melayu, maka kita hakikatnya sedang membiakkan virus bagi memusnahkan masa depan orang Melayu.
Bagi mereka yang tidak berpolitik, mereka hakikatnya tidak peduli sangat sama ada UMNO dan Pas akan terus bercakaran dalam merebut kerusi dalam pilihan raya tetapi mereka tetap berdoa agar dua parti Melayu ini akan bersatu apabila hak dan kepentingan Melayu terancam.
Dalam situasi politik sekarang, orang Melayu tidak mengira sama ada mereka Pas, UMNO, PKR atau atas pagar perlu memahami bahawa kaum-kaum lain sedang memperkukuhkan kedudukan mereka. Atas sebab itulah kita melihat pelbagai tuntutan dibuat, ada ketikanya ia mencabar kedudukan orang Melayu itu sendiri.
Bagaimanapun disebabkan orang Melayu berpecah maka ia melemahkan mereka untuk bercakap senada bagi menyanggah tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak lain. Mungkin ada di kalangan orang Melayu dalam UMNO dan Pas ingin bersuara tetapi disebabkan ingin menjaga hati 'rakan kongsi' maka ia didiamkan.
Kesudahannya, kita menyaksikan semakin banyak insan yang 'naik tocangnya' sehingga sudah ada pemimpin yang berani mempertikaikan ucapan pihak istana sekali pun - satu institusi yang harus dipertahankan oleh orang Melayu sampai kiamat.
Semua situasi ini seharusnya menyedarkan orang Melayu bahawa mereka tidak perlu mendabik dada kerana berjaya menumbang musuh politik mereka yang juga orang Melayu. Ini kerana semakin kurang suara majoriti Melayu dalam politik, semakin lemahlah kekuatan orang Melayu untuk mempertahankan hak mereka.
Oleh itu tidak usahlah terlalu mendewa-dewakan seseorang pemimpin yang kononnya dilihat paling sesuai untuk menyatukan orang Melayu. Ini bukan soal kewibawaan individu tetapi lebih penting daripada itu ialah permuafakatan di kalangan semua ahli politik Melayu bagi mempertahankan hak mereka.
Sebenarnya, formula yang dicari sudah ada di hadapan mata iaitu, pemimpin dan ahli-ahli UMNO serta Pas yang mengaku diri mereka Melayu beragama Islam perlu mengenepikan perbezaan politik antara mereka. Tidak apa hendak mempertahankan ideologi politik masing-masing tetapi jangan biarkan perbezaan itu dijadikan senjata bagi memusnahkan usaha penyatuan orang Melayu.
Masa masih belum terlewat untuk pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas memikirkan soal penyatuan ini. Jika orang lain sanggup meninggalkan ideologi politik demi membantu pemimpin yang sebangsa dengannya, kenapa ini tidak boleh berlaku di kalangan pemimpin dan ahli kedua-dua parti berkenaan?
Justeru orang Melayu dalam UMNO atau Pas tidak harus terlalu memikirkan kepentingan politik mereka. Tiada gunanya kita berbahas berapi-api di Perhimpunan Agung UMNO atau Muktamar Tahunan Pas berhubung hak orang Melayu tetapi apabila diminta duduk semeja kita memberi seribu satu alasan.
Kini sudah sampai masanya, UMNO dan Pas serta PKR melihat seruan yang dibuat dalam Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru itu sebagai sesuatu yang positif. Golongan muda dalam kedua-dua parti berkenaan boleh menjadi pencetus bagi menggerakkan usaha berkenaan.
Dalam soal ini kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria bahawa akan diadakan pertemuan susulan melibatkan tiga pemimpin UMNO, Pas dan PKR bagi memperincikan terma rujukan gagasan permuafakatan Melayu yang akan diwujudkan adalah tepat pada masanya.
Apa yang diharapkan langkah awal ini akan disambut oleh pemimpin-pemimpin senior dalam ketiga-tiga parti berkenaan.
Mereka harus secara jujur dan ikhlas melihat permuafakatan ini demi kebaikan orang Melayu bukan bertujuan politik.
Orang Melayu selama-lama tidak boleh hanya menyaksikan sahaja 'pihak lain' yang berbeza ideologi politik terus memperkukuhkan kedudukan mereka dan bersatu dalam banyak perkara yang menyentuh kepentingan mereka.
Adalah sesuatu yang malang jika 'pihak lain' itu semakin kukuh muafakat mereka sedangkan orang Melayu terus diancam 'menang sorak kampung tergadai'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan