Ahad, 4 Mei 2008

3 parti akan bincang terma gagasan permuafakatan Melayu


KUALA LUMPUR 3 Mei - Satu pertemuan susulan melibatkan tiga pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan bagi memperincikan lagi terma rujukan gagasan permuafakatan Melayu yang akan diwujudkan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, rancangan pertemuan susulan itu akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, ia adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam pertemuan tidak rasmi antara pemimpin muda ketiga-tiga parti itu sebelum ini.

"Kami bersetuju bahawa permuafakatan Melayu amat penting dalam menentukan arah bangun bangsa Melayu dan seharusnya melewati sempadan politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Norza sebelum ini telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk perbincangan tidak rasmi mengenai cadangan permuafakatan bagi mempertahankan hak serta hala tuju orang Melayu.

Pas dan PKR bersetuju untuk bermuafakat dengan UMNO dalam mempertahankan hak serta membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini dan meminta permuafakatan itu dapat dibentuk dalam tempoh jangka panjang demi memelihara kepentingan bersama.

Mohamad Norza berkata, pertemuan itu telah berjalan dalam suasana mesra dan semangat persaudaraan tinggi walaupun melibatkan pemimpin parti politik yang berbeza.

"Dalam pertemuan itu juga, semua bersetuju bahawa pemimpin Melayu khususnya di kalangan generasi muda hari ini perlu meneruskan usaha menyatupadukan Melayu," katanya.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu juga, persetujuan telah dicapai bahawa permuafakatan Melayu perlu dibincang dan diusahakan pembentukannya dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

"Apa yang jelas dalam pertemuan yang telah diadakan adalah keinginan para pemimpin yang mahu pembentukan kaum Melayu sebagai kaum utuh, mantap dan bermaruah dan kelangsungan Melayu sebagai kaum yang dihormati," katanya.

Sementara itu, Azmin ketika dihubungi mengesahkan mengenai pertemuan tidak rasmi antara beliau dan Mohamad Norza bagi membincangkan perkara itu sebelum ini.

"Ia adalah pertemuan secara peribadi dan parti (PKR) bersetuju saya berbuat demikian dan saya berpendirian apa juga perbincangan mengenai kepimpinan Melayu mesti dalam konteks Malaysia iaitu mempertahankan hak orang Melayu dan berlaku adil kepada kaum lain juga," katanya.

Tiada ulasan: