Sebagai muslim kita selalu dengar pasal Perang Badar, perang pertama dalam sejarah Islam.
Walaupun kita selalu dengar ustaz bercerita tentang Perang Badar, sebenarnya tidak ramai muslim (di sini baca: orang Melayu) yang dapat memahami intipati perang ini dengan jelas dan tepat. Ia mungkin disebabkan sudut penceritaan yang tidak memberi fokus kepada intipati berkenaan.
Apakah sebenarnya Perang Badar?
Perang Badar bukanlah perang dalam ertikata yang kita faham sebagai “perang” hari ini. Perang Badar merupakan satu serangan hendap oleh muslim Madinah yang diketuai oleh Nabi Muhamad saw ke atas rombongan perniagaan yang diketuai Abu Sufyan yang pada ketika itu sedang dalam perjalanan membawa balik sejumlah besar barang dagangan milik peniaga-peniaga Quraish di Mekah.
Serangan hendap itu dilakukan di atas Bukit Badar. Dan sebagaimana yang kita tahu, pihak muslim berjaya telah memenangi perang/serangan hendap tersebut.
Oleh kerana yang mereka perangi dan menangi itu adalah satu rombongan perniagaan yang sedang membawa banyak barang dagangan, maka sebab itulah ada “harta rampasan perang”. Harta rampasan perang itu sebenarnya adalah barang dagangan milik Quraish yang dirampas dari rombongan Abu Sufyan.
Kalau kita tengok melalui minda semasa kita, adakah patut perbuatan Nabi saw menyerang hendap sebuah rombongan perniagaan dan merampas barang dagangan mereka? Apa beza Nabi saw dengan ketua lanun?
Tetapi kita tahu bahawa tindakan itu bukanlah idea Nabi saw. Tapi adalah wahyu dari Tuhan. Tuhan yang memerintahkan kaum muslim melakukan tindakan itu. Nabi sendiri pada awalnya amat keberatan untuk melakukannya, tetapi Tuhan telah bertegas supaya mereka menjayakannya dan menjanjikan imbuhan, bukan saja dunia malah akhirat.
Kenapa Tuhan memerintahkan Nabi saw dan muslim Madinah menyerang hendap rombongan perniagaan Quraish?
Inilah intipati yang kita mesti faham. Bahawa untuk berjaya, kita haruslah berani hatta terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri, kaum kita atau orang lain. Bila kita berani barulah kita boleh menguasai orang. Bila kita sudah menguasai orang, barulah kita boleh melakukan agenda kita.
Kita perlu faham bahawa dalam Perang Badar, harta rampasan perang atau barang dagangan Quraish bukanlah matlamatnya walaupun ia tetap memberi sedikit sebanyak motivasi kepada muslim Madinah untuk turut serta. Apa yang Tuhan inginkan adalah supaya mereka mendapat keberanian, keyakinan dan menyimpan sifat mahu menguasai.
Kita tahu, selepas Badar muslim di bawah pimpinan Nabi saw terus maju ke hadapan, berjaya mengambilalih banyak kerajaan serta kawasan sehingga Islam dapat disebarkan ke seluruh dunia.
Semuanya dapat dijayakan kerana Tuhan, melalui Perang Badar itu sesungguhnya telah berjaya merubah komuniti muslim Madinah yang terpinggir dan serba kekurangan kepada sebuah komuniti yang amat berani, yakin serta memiliki keghairahan yang tinggi untuk menguasai orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan