Selasa, 8 April 2008

Anwar Yang Gelojoh


Cakap-cakap untuk menubuhkan kerajaan persekutuan Barisan Rakyat (BR) dalam penggal ini, tanpa melalui pilihan raya umum adalah membimbangkan.
Kegelojohan ahli politik sememangnya merisaukan walaupun sifat itulah yang mendorong kepada pencapaian kemenangan bagi mereka secara mengejutkan dan dalam waktu yang singkat.
Pada tahun awal 80-an, ketika Yang Dipertua PAS masa itu, Allahyarham Dato' Asri Muda sedang berkira-kira hendak mencari pemimpin baru bagi partinya, sudah tentu dengan sendirinya beliau mengharapkan Anwar Ibrahim.
Masa itu nama Anwar sebagai tokoh muda yang mahu membawa perubahan sedang meningkat naik. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu memberi harapan baru kepada negara, khususnya di kalangan orang Melayu dan Islam tentang masa depan lebih cerah.
Allahyarham Tun Razak juga pernah mempelawa beliau untuk menyertai pihak kerajaan sebagai pemimpin belia yang boleh menyumbang awal kepada negara. Anwar menolak kerana hatinya berada di pihak pembangkang.
Hubungan rapat ABIM dan PAS meletakkan kemungkinan Anwar akan memimpin parti Islam itu. Maklumlah PAS sedang menghadapi ketandusan kepimpinan dan kehadirannya dalam BN tidak begitu disenangi oleh ahli-ahli dan barisan kepimpinan juga sudah kelihatan letih, dan mencari orang yang segar.
Tetapi menjelang pilihan raya tahun 1982, politik Malaysia dikejutkan dengan penyertaan Anwar ke dalam Umno. Inilah bermulanya siri kejutan oleh Anwar yang terus menggoncang politik negara, mungkin sepanjang hayatnya. Banyak penyokong PAS dan gerakan Islam umumnya dirasakan dikhianati. Dengan sendirinya ABIM turut menyebelahi Umno dan keadaan ini mendorong kepada pemberontakan yang akhirnya mengeluarkan Asri daripada PAS.
Beliau kemudian menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM), membawa HAMIM ke dalam BN, akhirnya beliau juga menyertai Umno. Memanglah Anwar enggan menyertai PAS kerana parti itu tidak mampu untuk memerintah negara kerana bentuknya yang tidak pelbagai kaum dan agama. Tetapi andai kata Anwar memimpin PAS, keadaan itu tentunya berubah dan negara menjadi berbeza daripada apa yang pada hari ini.
Dalam Umno, Anwar naik dengan cepat. Beliau melakukan banyak kejutan. Dengan cepat belaiu menjadi ketua Pergerakanb Pemuda Umno. Daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjaga hal ehwal agama kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kemudian menjadi Menteri Pertanian dan Menteri Pelajaran.
Dalam parti, beliau jadi Naib Presiden dan kemudiannya Timbalan Presiden, melalui usaha yang tidak pernah dilakukan dalam Umno, meminggirkan Allahyarham Ghafar Baba melalui penubuhan Team Wawasan, terdiri daripada Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Muhammad Muhd Taib dan Rahim Thamby Chik. Di pihak pergerakan Wanita ialah Zaharah Sulaiman.
Apabila Indonesia diselubungi geraan Reformasi, Anwar juga melancarkan Reformasi dalam Umno. Dengan penyataannya di Johor, di depan Ghani Othman, beliau pasti dilihat sebagai mencabar Mahathir Mohamad.
Memang Malaysia sering mengikut jejak Indoensia dalam politik, tetapi ia bergerak jauh lebih lambat. Apabila Indeonsia mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1945, pejuang-pejuang nasionalis di Tanah Melayu juga bersemangat dan menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti politik pertama orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1946. Pemimpin utamanya ialah Pak Sako, Dr Burhanuddin Al-Hilmy dan Ahmad Boestamam.
Tetapi Tanah Melayu hanya mencapai kemerdekaan 12 tahun kemudian iaitu pada tahun 1957. Ia dicapai bukan oleh PKMM tetapi Perikatan Umno-MCA-MIC. PKMM yang pada mulanya turut bergabung dalam Umno telah keluar daripada gabungan itu.
Dalam Malaya Merdeka, Pak Sako menjadi ketua Parti Buruh Malaya, Dr Burhanuddin ketua PAS dan Ahmad Boestamam ketua Parti Rakyat Malaya. Parti Buruh dan Parti Rakyat bergabung dalam Front Sosialis atau Barisan Sosialis (FS). PAS dan FS adalah barisan pembangkang yang kalah teruk dalam pilihan raya tahun 1964 apabila mereka menolak gagasan Malaysia, dengan menyebelahi Indonesia.
Maka dalam tahun 1998 walaupun Anwar cuba membawa reformasi ke Malaysia, beliau gagal dengan padah yang besar. Reformasi yang dilaungkan pada tahun itu iaitu sama waktu dengan di Indonesia ditolak oleh Umno dan gagal pada tahun 1990.
Hanya lapan tahun kemudian, iaitu dalam pilihan raya umum ke-12, gagasan beliau diterima apabila Barisan Rakyat dapat menafikan majoriti dua pertiga BN. Sekali lagi beliau melakukan kejutan.
Tetapi ahli politik tidak wajar gelojoh. Tunggulah pilihan raya akan datang. Yang membawa reformasi pada masa akan datang tidak semestinya beliau. Tetapi beliau telah membuka ruang.Pemimpin PAS, DAP dan KeADILan yang asalnya PRM juga sudah masak dengan perangai Anwar. Tentunya Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang dahulunya Presiden PRM sudah lama mengenali Anwar sejak zaman universiti lagi apabila Anwar dan mahasiswa berada di jalan raya berdemonstrasi.
Anwar hampir sampai ke puncak dalam Umno tetapi gagal kerana salah perhitungan yang berakibatkan keadaan yang dahsyat. Bukan saja beliau rugi tetapi juga rakyat dan negara.Maka ketika berada di puncak sebagai pemimpin de facto bukan saja KeADILan tetapi juga Barisan Rakyat, Anwar ternyata gelojoh. Banyak pelajaran telah diperoleh daripada apa yang berlaku sejak dua dekad lalu. Janganlah memgulangi kesilapan.

Tiada ulasan: