Rabu, 9 April 2008

ADUN SEDILI : Pengikut Pas minta bantuan calon BN

KOTA TINGGI 3 Mac - Seramai 20 pengikut Pas dari Taman Sedili dekat sini menemui calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Rasman Ithnain untuk meminta bantuan menyelesaikan beberapa masalah termasuk isu tanah.
Nyata tindakan itu secara tidak langsung 'memberi sokongan' kepada calon BN berkenaan kerana mereka menyedari hanya kerajaan BN mampu membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.
"Sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada golongan nelayan yang taraf kehidupan mereka masih di bawah garis kemiskinan.
"Mereka minta tolong dapatkan tanah, memiliki rumah sendiri dan selesaikan mengenai hak milik tanah di samping beberapa masalah lain," kata Rasman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan kunjungan ke beberapa kampung di Sedili, di sini semalam.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini Rasman yang merupakan muka baru dan anak watan Felda Air Tawar Dua ditentang Timbalan Yang Dipertua Pas Bahagian Kota Tinggi, Munaim Hassan.
Rasman berkata, sebagai komitmennya jika dipilih sebagai wakil rakyat ialah mendekati masyarakat setempat hingga ke peringkat akar umbi.
Pada pilihan raya kali ini terdapat seramai 19,500 pengundi berdaftar di DUN Sedili iaitu 96 peratus pengundi Melayu, 2.6 peratus Cina dan selebihnya India.

Tiada ulasan: