Jumaat, 25 April 2008

Jangan pisahkan 13 Mei dan DEB

JIKA tidak berlaku kekacauan berdarah 13 Mei 1969, hubungan antara etnik di negara ini bukan sahaja setiap masa berada seperti telor di hujung tanduk, keadaan politik dan ekonomi juga berada dalam keadaan yang sentiasa terdedah ancaman dalaman dan luaran.


Lalu, formula perpaduan menjadi asas kepada status-quo seperti yang dialami sekarang. Ekoran peristiwa 13 Mei juga berlaku satu revolusi ekonomi Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak bernama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat bagi mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum. Ini menjadi kepercayaan bukan sahaja kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tetapi juga kepada setiap Perdana Menteri, baik Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pemerintahannya tetapi juga kepada Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Setiap tahun perkara ini diperingatkan kepada rakyat betapa perpaduanlah sahaja senjata yang memungkinkan negara ini terus bergerak ke hadapan, dan setiap rakyat tidak kira agama atau kaum akan terus mengecapi nikmat kemakmuran negara. Bagaimanapun, pada 13 Mei lalu bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Selangor sebuah buku bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 (13 Mei: Dokumen Terbuka mengenai Rusuhan 1969) tulisan bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Kua Kia Soongs, dilancarkan. Buku itu menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosio-ekonomi kaum di negara ini, sebaliknya Dr Kua mengemukakan tesis baru: ‘Kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama rusuhan.’ Dr Syed Husin Ali, bekas sosiologis Universiti Malaya yang kini bergerak sebagai pembangkang kerajaan, ketika pelancaran buku berkenaan turut menolak tesis Dr Kua, walaupun Dr Kua selalu muncul dalam kumpulan yang berpihak kepada pembangkang seperti Suaram (Suara Rakyat Malaysia), Dong Jia Zhong (Persatuan Pendidik Cina), Suqiu (Tuntutan Pilihan Raya 1999) dan penentang utama Sekolah Wawasan. Nampaknya Dr Syed Husin, dalam isu ini, masih lagi mengekalkan kesarjanaannya. Yang benar tetap dinyatakan benar, yang salah dinyatakan salah. Walau sukar untuk mencari motif sebenar Dr Kua membangkitkan sejarah luka berdarah berkenaan, namun tren semasa menunjukkan ada usaha untuk menidakkan DEB dan dasar kerajaan selain menyembur racun terhadap kepercayaan rakyat kepada kerajaan semasa. Sebelum ini asas formula perpaduan ini dicabar bekas Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam ASLI, Dr Lim Teck Ghee yang melalui `kajiannya’ mendapati bumiputera telah mencapai 45 peratus ekuiti, sedangkan kerajaan menyatakan sasaran DEB pada penghujung 1990 hanyalah sekitar 18 peratus, sedangkan sasaran dasar berkenaan ialah 30 peratus. Tidak sedikit orang Melayu juga terpengaruh supaya DEB atau dasar seumpamanya dimansuhkan, demi memenuhi kehendak orang seperti Dr Kua, Dr Lim dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang. Jika Kit Siang melancarkan propaganda DEB memperkayakan sesetengah orang Melayu, Dr Lim menyatakan DEB sudah melebihi 30 peratus dan Dr Kua mempertikaikan punca utama sejarah berdarah 13 Mei kerana usaha menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan bukan kerana kebiadapan pembangkang waktu itu, terpancar keselarian di antara mereka: DEB atau Dasar Pembangunan Nasional perlu dimansuhkan segera. Sudah ada orang Melayu menyanyi lagu sama dengan Dr Kua, Dr Lim dan Kit Siang, kononnya DEB hanya memperkayakan sebahagian elit Melayu, sedangkan tidak ada data konkrit mengenai hal ini. Anehnya orang Melayu yang menolak DEB yang menyatakan memperkayakan sesetengah Melayu adalah diri mereka sendiri! Sesetengahnya memberikan `pink form’ percuma, untuk memperkayakan orang tertentu. Data semasa yang ada, pendapatan perkapital bulanan Bumiputera ialah RM2,500, India RM 3,200 dan Cina RM4,100. Selain bukti di hadapan mata, data semasa juga menunjukkan bangunan komersial dan premis perniagaan bagi bumipitera ialah 11.7 peratus, Cina 71.9 peratus dan India 4.6 peratus. Ini menunjukkan DEB jauh daripada memuaskan bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada semua kaum kerana tidak mungkin perpaduan tercapai kecuali berlaku keseimbangan di antara kaum, atau jurang perbezaan itu wajib dikecilkan. Dr Kua juga menyatakan 13 Mei sebagai ‘hantu’ yang digunakan kerajaan untuk menakutkan rakyat, jika berlaku sesuatu yang tidak menyebelahi kerajaan, seperti mengalamai masalah seperti tahun 1969. Walaupun kenyataan Dr Kua itu secara sepintas lalu nampak seperti ada kebenaran, tetapi pengkaji hubungan etnik di Malaysia seperti Profesor Madya Dr Mansor Mohd Nor dari Universiti Utara Malaysia berpendapat, asas kepada berlaku ‘rusuhan’ selalunya perbezaan ekonomi antara etnik dalam sesebuah masyarakat. Dalam kajian beliau bersama rakan-rakannya ekoran konflik di antara kaum Melayu dan India di Kampung Medan pada 7 Mac 2001, Dr Mansor tidak menafikan punca asas ialah salah faham dan salah tafsiran mengenai satu kemalangan di Kampung Medan dan kemudiannya ketegangan akibat kes kenduri. Bagaimanapun, penelitian mendalam mendapati kes Kampung Medan berpunca daripada masyarakat India dan Melayu dihimpit kemiskinan, walaupun dikelilingi lautan kemajuan. Ini kerana, katanya, orang yang miskin, menganggur dan terpinggir memiliki ‘disposition towards conflics and violence’ (keinginan semula jadi terhadap konflik dan keganasan). Prinsip yang sama berlaku pada 1969 iaitu kedudukan ekonomi (sumber yang membolehkan setiap orang makan dan menikmati kehidupan) tidak seimbang, maka konflik berlaku, walaupun secara sepintas lalu kelihatan keputusan pilihan raya pada 10 Mei itu menjadi belerang yang membakar api persengketaan. Menurut Dr Mansor yang kini menjadi Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar di Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang UUM, keadaan sosio-ekonomi merupakan penyebab utuma rusuhan di mana-mana negara, termasuk di Paris pada 2005 dan di negara ini pada 1969. Apakah Dr Kua tidak melihat data-data ekonomi pada tahun 1970? Heng Pek Koon dalam satu tulisan bertajuk The new Economic Policy and the Chinese Community in Peninsula Malaysia dalam journal The Developing Economies, (September 1999, m.s 262–92 memaparkan dengan jelas data-data yang mencetuskan konflik berdarah berkenaan: Pada tahun 1970, perbezaan pendapatan di antara Melayu dan bukan Melayu begitu ketara sekali. Orang Melayu membentuk majoriti golongan miskin, iaitu sekitar 74 peratus di Semenjung Malaysia. Populasi Melayu dikawasan luar bandar 63.4 peratus berbanding kaum Cina 26.1 peratus, sementara kaum Cina membentuk majoriti populasi di kawasan bandar 58.7 peratus berbanding dengan Melayu 27.4 peratus. Pendapatan purata orang Melayu ialah RM178.7, berbanding dengan Cina RM387.4. Ekuiti korporat Melayu pula hanyalah 2.4 peratus, berbanding Cina 34.4 peratus. Menariknya, waktu itu ekuiti korporat negara ini dikuasai oleh orang luar, khususnya British, iaitu kira-kira 63.3 peratus. Tentunya British ingin menjaga kepentingannya di sini, tetapi Dr Kua telah memilih untuk mendapatkan data daripada orang British di pejabat dokuman awam di London, untuk membenarkan tesisnya, bahawa kekacauan 13 Mei berpunca daripada usaha untuk merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman. Elok Dr Kua mengajak rakan-rakan di Kolej New Era, Kajang dan di Dong Jia Zhong untuk bersama-sama mencari kaedah untuk memupuk rasa muhibah, khususnya di kalangan kanak-kanak di negara ini, melalui sekolah kebangsaan atau kaedah-kaedah lain yang diamalkan oleh negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Rata-rata rakyat negara ini mempercayai perpaduan merupakan aset penting yang membawa kejayaan negara sehingga hari ini, dan Akta Hasutan seharusnya menjadi benteng untuk memastikan perpaduan di negara ini terus berkekalan. Sesungguhnya, perpaduan tidak akan tercapai melainkan berlaku rasa kasih sayang di antara kaum dan tidak ada satu-satu kaum yang membolot kekayaan negara, kerana seperti kata seorang guru, kita meminjam negara ini daripada generasi akan datang. Justeru, usaha memupuk perpaduan melalui kesaksamaan seperti DEB perlu diteruskan untuk memastikan semua anak-anak bangsa di negara ini dapat menikmati kehidupan secara relatif bahagia.

Tiada ulasan: