Isnin, 16 Jun 2008

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Dewasa ini, berlaku keadaan dimana segelintir rakyat Malaysia termasuk segelintir orang Melayu sendiri, membelakangkan sejarah dan mula mempersoalkan asas asas penubuhan yang dipersetujui lebih 50 tahun dahulu. Yang dimaksudkan ialah 'kontrak sosial' yang sama sama dipersetujui antara pemimpin pemimpin Melayu, sebagai pribumi dan majoriti penduduk tanahair dan orang keturunan Cina dan India, sebagai etnik pendatang (immigrants), yang dibanjiri masuk oleh penjajah British untuk keperluan aktiviti mereka, semasa mereka mula bertapak.

'Kontrak sosial' yang dipersetujui ialah orang Melayu menerima penduduk tetap Tanah Melayu etnik Cina dan India (termasuk yang tidak dilahirkan ditanah air ini) sebagai warga Tanah Melayu, yang diberikan hak samarata seperti mengundi, bekerja, mendapat kemudahan perkhidmatan seperti kesihatan, keselamatan dan sebagainya, memiliki harta dan perniagaan. Sebagai timbal balas, mereka yang diiktiraf sebagai warga Tanah Melayu ini menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Islam agama Persekutuan Tanah Melayu, taat setia kepada Raja dan hak hak istimewa orang Melayu, contohnya Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136

(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau
(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau
(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak. (9A) Dalam Perkara ini ungkapan "anak negeri" berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A. (10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

Setelah persetujuan dan kesefahaman ini yang diusahakan oleh Kepimpinan UMNO ketika itu diperolehi oleh semua pihak, maka negara maju dibangunkan dalam keadaan aman, stabil dan harmoni. Sifat positif kenegaraan ini merupakan elemen terpenting yang membolehkan negara mencapai keadaan dan tahap sekarang, walaupun tempoh itu negara diancam dengan keganasan komunis, 'Konfrontasi' dengan Indonesia, tekanan kuasa kuasa besar tatkala kancah IndoChina memuncak, beberapa kali krisis ekonomi dan konflik dalaman politik.

Selama 50 tahun ini, negara berjaya memperolehi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan dan berubah dari pengantungan perusahan utama dan asas tani kepada perindustrian dan negara perdagangan global ke XVII terpenting. Kejayaan konsisten dan mampu dirancang ini semua menjadi asas dan dorongan agar negara mengorak langkah sebagai status negara maju, dalam dasar "Wawasan 2020" yang dilancarkan pada 1991. Kemakmuran tercapai kerana negara berada dalam keadaan aman, harmoni, stabil dan ini menjadi keadaan kondusif untuk aktiviti ekonomi dan sosial.

Kini, ada yang mempersoalkan kewajaran persetujuan dan 'kontrak sosial' ini dan mahukan kajian semula, yang dijangkakan akan berakhir sebagai penggubalan peruntukan asal Perlembagaan sewaktu negara ini ditubuhkan.

Tidak kurang juga, yang secara terbuka dan lantang mempersoalkan, malah melakukan provokasi mengenai hal dan hak istimewa orang Melayu. Keadaan berlaku apabila orang Melayu membincangkan mengenai hal dan hak mereka, ianya ditunding dengan nada 'perkauman' dan menggambarkan seolah olah negara mengamalkan dasar menindas dan diskriminasi apabila isu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditimbulkan.

Sebaliknya, apabila golongan Bukan Melayu ini mempersoalkan mengenai hal dan hak mereka, ianya tidak pula mereka anggap sebagai 'perkauman' dan apa dan cara mereka perbincangkan itu adalah "berpatutan dan mengamalkan hak demokrasi mereka". Ini makin menjadi rumit apabila media antarabangsa juga menyokong haluan dan usaha kumpulan minoriti ini, termasuk dengan nada dan acuan liberalism dan universal yang mereka agungkan, mempersoalkan bagaimana orang Bukan Islam dinafikan hak mereka mengamalkan kepercayaan mereka.

Persoalan sekarang, mengapa ada rakyat Malaysia sengaja memilih untuk sengaja tidak berlaku adil dengan perspektif kunun kunun bahawa sejarah itu "gagal" apabila bercakap mengenai isu sosio-ekonomi, sejarah dan kaitan hubungan harmoni dan kesefahaman antara kaum, yang sebenarnya menjadi asas negara ini berkembang maju sehingga tahap ini?

Perkembangan tidak produktif ini sebenarnya membawa orang Melayu beberapa tapak kebelakang. Pendidikan merupakan teras utama program membasmi kemiskinan dibawah DEB dan selama 37 tahun. Ia berjaya membawa begitu ramai orang Melayu yang asalnya dari luar bandar menjalani kehidupan yang lebih baik, selesa dan progressif.

Malangnya, tekanan demi tekanan dibuat dan baru baru ini Kerajaan membuat keputusan bahawa 45% dari biasiswa dan dana pengajian tinggi Jabatan Perkhidmatan Awam akan diperuntukan kepada Bukan Melayu (asalnya 30%), walaupun sebenarnya mereka ialah kurang dari 35% penduduk negara ini.

Perlukah lagi apa yang selama ini hak bagi orang Melayu perlahan lahan ditarik?

Tiada ulasan: