Ahad, 4 Mei 2008

Melayu perlu bangkit


Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba.

MUKADDIMAH

Hari ini berakhirlah Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan sejak Jumaat lalu. Kongres hasil inisiatif Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) ini disertai oleh 180 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu diharapkan mampu mencetuskan kesedaran kepada orang Melayu mengenai hak-hak mereka dan kedudukan bangsa itu selepas pilihan raya umum lalu.

Apa pun dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba di Universiti Perguruan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling menjelaskan mengenai bahaya yang sedang menanti orang Melayu jika mereka menganggap perkembangan politik terkini tidak ada apa-apa kesan kepada mereka. Dengan berlatarbelakangkan lukisan suasana Langkasuka, Kedah pada abad pertama tahun masihi, Dr. Zainal melontar satu demi satu pandangan mengenai kesan politik kepada orang Melayu dan berkali-kali menegaskan bahawa orang Melayu tidak harus mengamalkan politik ‘dikir barat’ dan ‘boria.’

Sementara itu Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar pula mengakui banyak resolusi yang dicapai dalam perhimpunan menggerakkan agenda Melayu sebelum ini tidak ke mana sehingga menimbulkan rasa tidak percaya orang Melayu terhadap usaha mengangkat agenda bangsa dan ia diluahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK di Johor Bahru semalam beliau tidak menafikan kegagalan parti-parti politik Melayu memperjuangkan agenda Melayu. Kerana itu beliau menegaskan bahawa setiap resolusi bukan sahaja akan diserahkan kepada pihak-pihak yang terlibat malah pemantauan akan dilakukan supaya jika ada pengabaian maka akan ada teguran.

Mingguan: Apa matlamat sebenar Kongres Permuafakatan Melayu ini diadakan?

DR. ZAINAL: Ia sebagai reaksi kita kepada perkembangan politik negara yang memunculkan satu suasana yang mencabar kedudukan bangsa Melayu dalam negara sendiri. Selain itu kita melihat kongres tersebut perlu diadakan bagi melibatkan secara langsung bangsa Melayu melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam penentuan keputusan-keputusan oleh kerajaan.

Kita selama ini bergantung kepada kerajaan untuk memenuhi keperluan dan hasrat kita, jadi kita tidak menyuarakan secara langsung melalui NGO. Bagaimanapun ternyata akhir-akhir ini parti-parti politik Melayu tidak begitu memperjuangkan hak orang Melayu, misalnya hak bahasa, kebudayaan dan ekonomi.

Oleh itu masanya sudah sampai kita melibatkan semua bangsa Melayu termasuk NGO Melayu untuk memahami persoalan-persoalan ini dan sekali gus terlibat sebagai pendesak.

Ini bagi membolehkan mereka melindungi hak Melayu yang sahih dalam undang-undang, orang bercakap mengenai hak yang sah bagi bukan Melayu. Barangkali kita sebagai NGO harus memahami bahawa kita bukan sahaja mempunyai hak yang sah tetapi juga hak asasi Melayu yang dilindungi oleh undang-undang. Semua ini kita pandang dengan cara yang amat kritis supaya bangsa Melayu itu bangkit mempertahankannya melalui NGO. Ini kita namakan kuasa yang ketiga. Ia gerakan masyarakat bertujuan bukan sahaja untuk memastikan hak dia terlindung tetapi juga keinginannya tercapai. Walaupun parti politik mengatakan mereka mempunyai mandat melalui pilihan raya, tetapi tidak semua tafsiran mereka betul.

Bagaimana NGO Melayu hendak melakukannya, kerana orang berpendapat tanpa sokongan politik, usaha untuk memperjuangkan hak Melayu tidak akan ke mana?

DR. ZAINAL: Inilah sebabnya NGO itu mesti berpolitik. Kita mesti menggunakan permainan kuasa sebagai pelobi atau pendesak, walaupun ia bukan kuasa eksekutif. Contohnya seperti orang Cina mereka tidak menjadi kuasa eksekutif tetapi mereka menjadi pendesak.

Justeru kita harus memainkan kuasa itu bagi memastikan hak Melayu terlindung. Sudah sampai masanya orang Melayu sendiri secara bermasyarakat bermain dan terlibat dalam kuasa itu.

Apakah orang Melayu ini sudah terlalu teruk sehingga terpaksa mengadakan kongres bagi mempertahankan hak mereka?

DR. ZAINAL: Tidak begitu, tetapi ada potensi keadaan Melayu akan tergugat oleh kerana desakan yang amat kuat oleh orang-orang yang ingin persamaan hak atau lebih daripada itu.

Misalnya, bagaimanakah orang Melayu mengendalikan masalah orang membina ladang babi seluas 400 ekar di tengah kampung Melayu, bagaimana kita hendak buat jika kerajaan tidak peduli? Jadi terpaksa bermain kuasa pendesak itu untuk membangkitkannya supaya ia tidak berlaku di kampung kita. Selain itu kita harus menggabungkan seluruh tenaga dan kuasa kita bagi menghalangnya. Jadi kalau kerajaan membenarkannya kita terpaksa mengancam kerajaan.

Kita tidak kata Melayu berada dalam keadaan yang terlalu buruk tetapi ada potensi kerana keadaan politik sudah terbalik. Ini jelas apabila di sesetengah negeri dahulu orang Melayu yang berkuasa seluruhnya manakala komuniti Cina dan India sebagai pelengkap dalam perkongsian kuasa. Tetapi sekarang orang Cina yang lebih berkuasa manakala orang Melayu hanya menjadi pelengkap. Walaupun mereka menjadi Menteri Besar (MB), mereka tidak mempunyai suara eksekutif yang kuat dalam barisan exco.

Jika ini dibiarkan, ia boleh berlaku di seluruh negara dan lebih buruk lagi bila ada pemimpin-pemimpin Melayu yang melayari gelombang ini demi kepentingan diri.

Bagaimana dengan kesedaran orang Melayu mengenai hak-hak mereka yang perlu dipertahankan?

DR. ZAINAL: Kesedaran itu ada tetapi kebanyakan mereka tidak pasti apa bendanya. Di mana terletaknya dalam perundangan dan mengenai perkara apa. Orang tidak faham sebab kita tidak membaca peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan. Justeru, kalau boleh dengan kehadiran 180 NGO Melayu dalam kongres ini, mereka akan memahami satu persatu peruntukan tersebut.

Ada sesetengah pemimpin politik beranggapan peduli apa dengan ketuanan Melayu kerana sekarang ini Perdana Menteri adalah Melayu begitu juga Menteri Besar majoritinya adalah Melayu?

DR. ZAINAL: Inilah masalahnya, kita bertindak dalam budaya politik yang kita anggap sebagai dikir barat dan boria. Budaya kita ialah menyerahkan kepada satu manusia untuk memimpin, kalau dia lemah maka seluruhnya runtuh. Sebab itulah orang Melayu sebut “Si luncai terjun dengan labu-labunya, biar pi.”

Kita tidak boleh membiarkan seorang pemimpin tertinggi Melayu itu seorang diri membuat keputusan. Dia seharusnya hanya menjadi pemimpin hadapan sedangkan di belakangnya mempunyai pelbagai idea dan sokongan yang kuat dan dia mesti memahami sepenuhnya apa yang hendak dicapai. Kalau kita membenarkan dan terlalu yakin dengannya kita akan hanyut. Ini sudah banyak kali berlaku.

Adakah Datuk yakin orang Melayu mempunyai potensi untuk bersatu, biarpun dipisahkan oleh perbezaan politik?

DR. ZAINAL: Potensi itu tetap ada selagi orang Melayu itu Islam dan memahami kedudukan Melayu dan Islamnya serta memahami bagaimana perpecahan itu boleh menjatuhkan mereka. Kita boleh bergabung dan membangun semula.

Betulkah ini akan menjadi sandaran sedangkan dalam pilihan raya umum lalu menunjukkan ada parti politik Melayu yang bersedia bekerjasama dengan parti yang dilihat tidak gemar dengan perjuangan hak Melayu ini?

DR. ZAINAL: Inilah masalah terbesar orang Melayu, kita selalu melihat apabila ada sahaja orang Melayu kita akan merasa terselamat.

Oleh kerana itu, orang boleh bercakap masih ada Melayu apa peduli dan sebagainya tetapi kita terpaksa peduli kerana pengalaman-pengalaman di tempat lain yang asalnya negeri Melayu akhirnya Melayu diketepikan, contohnya Pulau Pinang.

Jadi anak-anak muda kita yang ghairah untuk mengubah keadaan mesti faham apa yang mereka hendak ubah.

Kita harus faham orang memang hendak mengubah keadaan selama-lamanya, DAP contohnya selama-lamanya ingin mewujudkan Malaysian Malaysia menurut tarif dia bukan ikut tarif perlembagaan. Mereka mencari kesaksamaan. Tetapi perlembagaan memberi hak keistimewaan kepada bumiputera dan Melayu sambil mengimbangi hak itu dengan orang lain.

Islam agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni serta damai.

Kenapa mesti sebut aman dan damai? Ini kerana orang dahulu yang menggubal perlembagaan melihat ada potensi untuk pergolakan agama.

Bagaimana dengan pandangan bahawa perpaduan Melayu bergantung kepada penyatuan antara UMNO dan Pas? Adakah potensi kedua-dua parti Melayu ini bersatu?

DR. ZAINAL: Itu ada kemungkinan. Itu harus berlaku sebab ideologinya sama. Tetapi kerana permainan politik individu dan pemimpin maka orang Melayu dalam kedua-dua parti ini seolah-olah berkerat rotan dan berpatah arang. Kalau parti Islam itu sendiri hendak mengamalkan prinsip Islam sebenar-benarnya, bukan sekadar bermain politik semata-mata, mereka harus bekerja ke arah penyatuan itu.

Sekarang ini kaum lain selalu menggunakan istilah perkauman apabila kita bercakap tentang Melayu. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini?

DR. ZAINAL: Apabila kita bercakap tentang Melayu, kita dituduh perkauman. Tetapi itulah hak kita, hak asasi Melayu di negeri Melayu mesti mempertahankan Melayu.

Negara ini terbentuk di atas landasan kebumiputeraan dan kedaulatan kerajaan Melayu sebagai kerangka hidup. Jadi kalau kita mempertahankannya, itu adalah hak nasional Melayu dan seluruh rakyat Malaysia. Kalau itu runtuh maka segalanya runtuh. Tetapi apabila kita tidak menjawab segala tuduhan-tuduhan itu seolah-olah memang benar kita yang menindas orang.

Orang lain yang menjadi warga kelas pertama di Malaysia tetapi Melayu yang jadi warga kelas tiga. Walaupun ada kuasa politik kononnya dalam perlembagaan, tetapi orang Melayu tidak pernah menjawab tuduhan perkauman itu. Orang Melayu tidak berani hendak menuduh balik. Jadi orang Melayu dituduh sebagai perkauman. Tetapi sebenarnya yang paling perkauman adalah orang luar yang hendak mempertahankan kedudukan mereka.

Tetapi Prof. orang Melayu banyak sangat bertolak ansur?

DR. ZAINAL: Orang Melayu paling bertamadun di dunia, paling berbudi bahasa. Kita menerima orang dan kita bagi betis kita tetapi dia hendak paha, itulah masalahnya. Orang tidak menghargai kebaikan budi bahasa orang Melayu. Sebabnya mereka adalah orang luar yang terpaksa mendesak hendak hak yang sama, maka mereka lupa tentang baik budi orang Melayu. Mereka tidak merasa kebudian orang Melayu. Kerana itu apabila orang tidak menghargai budi orang Melayu, maka orang Melayu kena bertindak balik.

Dalam pilihan raya baru-baru ini, jelas isu perkauman dimainkan oleh sesetengah pihak apabila menyatakan undi MCA atau MIC itu bermakna mengundi UMNO.

Kenyataan ini jelas menunjukkan, kelompok berkenaan anti-Melayu. Tetapi malangnya kita tidak pernah menyanggah atau membalasnya. Seharusnya kempen seperti itu kita kenakan Akta Hasutan sebab menghasut membenci kaum.

Satu masalah dalam pilihan raya baru-baru ini ialah generasi muda Melayu tidak peduli tentang ketuanan Melayu. Bagaimana NGO Melayu boleh bertindak?

DR. ZAINAL: Anak-anak muda Melayu ini digembleng oleh kepentingan parti-parti politik terhadap ketidakpuasan hati anak-anak Melayu dan juga orang lain. Orang Cina tidak berpuas hati walaupun paling kaya di Malaysia, orang India juga tidak berpuas hati. Ada tuduhan negara ini banyak rasuah, orang Melayu yang mengada-ada, di tengah-tengah kawasan orang miskin bina istana.

Memanglah perkara ini betul dan reaksi anak-anak Melayu juga betul. Sebab mereka telah dididik dalam keadaan dan suasana yang demokratik, boleh bersuara dan mencari persamaan setiap individu. Kita hendak mengingatkan pemimpin-pemimpin Melayu bahawa mereka tidak boleh menganggap perjuangan mereka selama ini dalam politik mesti dibalas seperti mendapat tanah dan sebagainya.

Sebenarnya keadaan sudah berubah apabila saban tahun 50,000 siswazah dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi. Mereka sudah faham segala proses ini.

Maka apabila kita masih lagi memikirkan orang terhutang budi kepada kita padahal itu adalah tugas kita, orang akan membalas balik dalam pilihan raya kerana anak-anak muda sudah terdidik. Bagaimanapun menjadi tugas kita untuk mengingatkan bahawa dalam keadaan tertentu kita tidak boleh terlampau untuk memutar balik keadaan politik hari ini.

Tujuan kita ialah untuk mengingatkan bahawa dasar yang dilakukan oleh pemerintah Melayu demi keuntungan kita.

Adakah pilihan raya yang lalu menjadi satu momentum untuk membangkitkan kesedaran kalangan orang Melayu?

DR. ZAINAL: Iktibar yang paling besar ialah Melayu boleh dipecahkan dan boleh menjadi pembangkang, bukan kerajaan. Kerajaan Melayu boleh diruntuhkan. Orang Melayu boleh dipecahkan dalam beberapa kelompok dan ini yang sedang berlaku walaupun kita mendapat majoriti. Walaupun UMNO masih menang tetapi sokongan kepada kerajaan yang berlandaskan UMNO berkurangan. Apabila dipecah-pecah, Melayu tidak memerintah dan hilang kuasa. Kita mesti menghindarkan keadaan ini.

Apa bahaya yang sedang menanti orang Melayu kalau beginilah sikap orang Melayu?

DR.ZAINAL: Bahayanya ialah kita akan kehilangan perlindungan yang terdapat dalam perundangan. Apabila Melayu boleh dipecahkan, tidak lagi memerintah dan perpecahan Melayu itu digunakan oleh parti lain untuk mendapat majoriti dua pertiga, itu membolehkan orang meminda dan merubah perlembagaan dan undang-undang. Orang akan menggunakan perundangan-perundangan itu untuk memerintah dengan cara atau dasar apa sahaja. Yang membangunkan kita selama ini ialah dasar negara dan dasar awam. Dasar ekonomi dengan DEB, dasar pendidikan dan dasar kebudayaan. Semua ini sempat membangunkan bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu menjadi kebudayaan nasional.

Formula satukan Melayu

ENTAH untuk ke berapa kalinya kita mendengar seruan agar dua parti yang mempunyai ahli Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas bersatu. Terbaru, seruan itu dibuat oleh peserta-peserta Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru.

Jika kenyataan mereka diteliti, mereka bukanlah mendesak supaya UMNO dan Pas membuang ideologi politik masing-masing sebaliknya mencari formula untuk bersatu bagi menjayakan program-program 'menyelamatkan' orang Melayu dalam isu-isu tertentu.

Ketika ini 'formula' berkenaan seolah- olah sukar untuk ditemui atau mungkin ia sengaja tidak dicari dalam soal meletakkan titik persamaan bagi menyatukan orang Melayu dalam kedua-dua parti berkenaan. Perbezaan politik tidak harus dijadikan sempadan konkrit yang seolah-olah tidak boleh diruntuhkan bagi memberi laluan kepada penyatuan Melayu.

Hakikatnya, tidak salah untuk pemimpin UMNO datang berbincang dengan pemimpin Pas dengan keris bersilang atau pemimpin Pas datang menghulurkan silaturrahim dengan berjubah dan berserban, apa yang lebih penting daripada itu ialah titik persamaan dalam usaha memperjuangkan isu-isu tertentu melibatkan orang Melayu.

Sama ada hendak diakui atau tidak, penyatuan dan usaha memperjuangkan hak dan isu orang Melayu hanya mampu dijayakan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas. Jika kedua-dua parti ini mencapai kata sepakat sudah pastilah laluan ke arah itu tidak akan menjadi masalah.

Tetapi masalah yang berlaku sekarang ialah perbezaan ideologi politik sering sahaja menjadi penghalang kepada kedua-dua parti berkenaan. Kita sering mendengar bagaimana ada pemimpin Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dengan alasan UMNO memperjuangkan sekular dan ada pula pemimpin UMNO yang menganggap Pas mengamalkan assabiyah.

Kesudahan tiada kata sepakat yang dicapai. Harapan untuk melihat UMNO dan Pas duduk semeja bagi membincangkan hak dan isu orang Melayu terus menjadi impian yang tidak kesampaian biarpun sudah acap kali seruan dibuat agar mereka bersatu.

Apa yang perlu difahami, selagi UMNO dan Pas tidak mencapai kata sepakat dan dilihat tidak mampu duduk semeja untuk berbincang selagi itulah orang Melayu tidak akan dilihat sebagai kelompok yang harus digeruni lagi. Orang Melayu akan dilihat tidak mempunyai sebarang perlindungan kerana mereka sendiri berpecah antara satu sama lain.

Selain dalam Pas dan UMNO, orang Melayu juga terjerumus dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa kelompok lain sehingga menjadikan suara orang Melayu semakin lemah dalam memperjuangkan isu dan hak melibatkan kepentingan kaum itu.

Oleh itu, masanya sudah tiba untuk pemimpin-pemimpin parti politik Melayu memikirkan dengan serius bahaya yang sedang menanti jika mereka terus berpecah belah dan terlalu degil untuk duduk semeja bagi membincangkan kepentingan Melayu.

Tidak usahlah mengeluarkan hujah dangkal dengan membuat seruan supaya penyatuan hanya boleh dilakukan melalui perpaduan Islam, bukankah di Malaysia ini, orang Melayu itu Islam dan Islam itu berkaitan rapat dengan orang Melayu? Soal perpaduan Islam akan terwujud dengan sendiri apabila orang Melayu bersatu kerana tidak ada mana-mana orang Melayu sama ada dalam Pas, UMNO atau PKR akan menolak Islam.

Tetapi perpaduan Islam tidak akan tercapai selagi orang Melayu berpecah akibat ideologi politik berbeza dan ia diburukkan lagi dengan tafsiran Islam mengikut pandangan masing-masing. Jika orang Melayu terus berpecah, Islam juga tidak akan terjamin di bumi Malaysia ini.

RapuhJusteru itu seruan penyatuan UMNO dan Pas ini bukanlah bermakna mereka harus menanggalkan pegangan politik masing-masing, UMNO boleh terus dengan politiknya begitu juga Pas tetapi apabila ada isu yang menyentuh mengenai orang Melayu mereka harus bersedia duduk semeja mempertahankannya.

Perkembangan politik tanah air sejak kebelakangan ini harus memberikan kesedaran kepada orang Melayu sama ada UMNO atau Pas bahawa hak orang Melayu semakin rapuh. Mereka tidak mempunyai banyak kekuatan untuk mempertahankannya.

Di beberapa negeri biarpun Menteri Besarnya adalah Melayu, ia belum tentu dapat memberi jaminan bahawa hak Melayu akan dipertahankan, ini kerana seperti mana kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling, kuasa eksekutif Menteri Besar itu tidak kuat.

Justeru sementara sesetengah parti politik boleh berbangga berikutan pencapaian dalam pilihan raya umum lalu, mereka juga harus berfikir di luar lingkungan kepentingan politik masing-masing iaitu mengenai masa depan orang Melayu.

Jika orang Melayu terus berpecah-belah dan terlalu sukar untuk bersatu semata-mata kerana ideologi politik, ia sudah pasti akan membuka laluan yang lebih luas kepada pihak-pihak tertentu bagi melemahkan kekuatan orang Melayu. Mungkin kesannya tidak dapat dilihat sekarang tetapi bagaimana 10 tahun atau 20 tahun akan datang?

Oleh itu, 'formula ampuh' itu harus dicari, bukan sahaja oleh UMNO dan Pas tetapi juga semua orang Melayu yang cintakan bangsa dan agamanya. Jika mereka menganggap kenapa perlu kelam kabut sedangkan kerajaan masih dikuasai oleh BN yang ditunjangi oleh UMNO manakala di beberapa negeri biarpun pembangkang tetapi Menteri Besar ialah orang Melayu, maka kita hakikatnya sedang membiakkan virus bagi memusnahkan masa depan orang Melayu.

Bagi mereka yang tidak berpolitik, mereka hakikatnya tidak peduli sangat sama ada UMNO dan Pas akan terus bercakaran dalam merebut kerusi dalam pilihan raya tetapi mereka tetap berdoa agar dua parti Melayu ini akan bersatu apabila hak dan kepentingan Melayu terancam.

Dalam situasi politik sekarang, orang Melayu tidak mengira sama ada mereka Pas, UMNO, PKR atau atas pagar perlu memahami bahawa kaum-kaum lain sedang memperkukuhkan kedudukan mereka. Atas sebab itulah kita melihat pelbagai tuntutan dibuat, ada ketikanya ia mencabar kedudukan orang Melayu itu sendiri.

Bagaimanapun disebabkan orang Melayu berpecah maka ia melemahkan mereka untuk bercakap senada bagi menyanggah tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak lain. Mungkin ada di kalangan orang Melayu dalam UMNO dan Pas ingin bersuara tetapi disebabkan ingin menjaga hati 'rakan kongsi' maka ia didiamkan.

Kesudahannya, kita menyaksikan semakin banyak insan yang 'naik tocangnya' sehingga sudah ada pemimpin yang berani mempertikaikan ucapan pihak istana sekali pun - satu institusi yang harus dipertahankan oleh orang Melayu sampai kiamat.

Semua situasi ini seharusnya menyedarkan orang Melayu bahawa mereka tidak perlu mendabik dada kerana berjaya menumbang musuh politik mereka yang juga orang Melayu. Ini kerana semakin kurang suara majoriti Melayu dalam politik, semakin lemahlah kekuatan orang Melayu untuk mempertahankan hak mereka.

Oleh itu tidak usahlah terlalu mendewa-dewakan seseorang pemimpin yang kononnya dilihat paling sesuai untuk menyatukan orang Melayu. Ini bukan soal kewibawaan individu tetapi lebih penting daripada itu ialah permuafakatan di kalangan semua ahli politik Melayu bagi mempertahankan hak mereka.

Sebenarnya, formula yang dicari sudah ada di hadapan mata iaitu, pemimpin dan ahli-ahli UMNO serta Pas yang mengaku diri mereka Melayu beragama Islam perlu mengenepikan perbezaan politik antara mereka. Tidak apa hendak mempertahankan ideologi politik masing-masing tetapi jangan biarkan perbezaan itu dijadikan senjata bagi memusnahkan usaha penyatuan orang Melayu.

Masa masih belum terlewat untuk pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas memikirkan soal penyatuan ini. Jika orang lain sanggup meninggalkan ideologi politik demi membantu pemimpin yang sebangsa dengannya, kenapa ini tidak boleh berlaku di kalangan pemimpin dan ahli kedua-dua parti berkenaan?

Justeru orang Melayu dalam UMNO atau Pas tidak harus terlalu memikirkan kepentingan politik mereka. Tiada gunanya kita berbahas berapi-api di Perhimpunan Agung UMNO atau Muktamar Tahunan Pas berhubung hak orang Melayu tetapi apabila diminta duduk semeja kita memberi seribu satu alasan.

SikapSemua ini hanya menunjukkan sikap orang Melayu yang hanya pandai bercakap dan beretorik tetapi apabila tiba masa untuk berada dalam satu barisan, ia seolah-olah terlalu yang mustahil.

Kini sudah sampai masanya, UMNO dan Pas serta PKR melihat seruan yang dibuat dalam Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru itu sebagai sesuatu yang positif. Golongan muda dalam kedua-dua parti berkenaan boleh menjadi pencetus bagi menggerakkan usaha berkenaan.

Dalam soal ini kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria bahawa akan diadakan pertemuan susulan melibatkan tiga pemimpin UMNO, Pas dan PKR bagi memperincikan terma rujukan gagasan permuafakatan Melayu yang akan diwujudkan adalah tepat pada masanya.

Apa yang diharapkan langkah awal ini akan disambut oleh pemimpin-pemimpin senior dalam ketiga-tiga parti berkenaan.

Mereka harus secara jujur dan ikhlas melihat permuafakatan ini demi kebaikan orang Melayu bukan bertujuan politik.

Orang Melayu selama-lama tidak boleh hanya menyaksikan sahaja 'pihak lain' yang berbeza ideologi politik terus memperkukuhkan kedudukan mereka dan bersatu dalam banyak perkara yang menyentuh kepentingan mereka.

Adalah sesuatu yang malang jika 'pihak lain' itu semakin kukuh muafakat mereka sedangkan orang Melayu terus diancam 'menang sorak kampung tergadai'.

3 parti akan bincang terma gagasan permuafakatan Melayu


KUALA LUMPUR 3 Mei - Satu pertemuan susulan melibatkan tiga pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan bagi memperincikan lagi terma rujukan gagasan permuafakatan Melayu yang akan diwujudkan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, rancangan pertemuan susulan itu akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, ia adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam pertemuan tidak rasmi antara pemimpin muda ketiga-tiga parti itu sebelum ini.

"Kami bersetuju bahawa permuafakatan Melayu amat penting dalam menentukan arah bangun bangsa Melayu dan seharusnya melewati sempadan politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Norza sebelum ini telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk perbincangan tidak rasmi mengenai cadangan permuafakatan bagi mempertahankan hak serta hala tuju orang Melayu.

Pas dan PKR bersetuju untuk bermuafakat dengan UMNO dalam mempertahankan hak serta membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini dan meminta permuafakatan itu dapat dibentuk dalam tempoh jangka panjang demi memelihara kepentingan bersama.

Mohamad Norza berkata, pertemuan itu telah berjalan dalam suasana mesra dan semangat persaudaraan tinggi walaupun melibatkan pemimpin parti politik yang berbeza.

"Dalam pertemuan itu juga, semua bersetuju bahawa pemimpin Melayu khususnya di kalangan generasi muda hari ini perlu meneruskan usaha menyatupadukan Melayu," katanya.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu juga, persetujuan telah dicapai bahawa permuafakatan Melayu perlu dibincang dan diusahakan pembentukannya dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

"Apa yang jelas dalam pertemuan yang telah diadakan adalah keinginan para pemimpin yang mahu pembentukan kaum Melayu sebagai kaum utuh, mantap dan bermaruah dan kelangsungan Melayu sebagai kaum yang dihormati," katanya.

Sementara itu, Azmin ketika dihubungi mengesahkan mengenai pertemuan tidak rasmi antara beliau dan Mohamad Norza bagi membincangkan perkara itu sebelum ini.

"Ia adalah pertemuan secara peribadi dan parti (PKR) bersetuju saya berbuat demikian dan saya berpendirian apa juga perbincangan mengenai kepimpinan Melayu mesti dalam konteks Malaysia iaitu mempertahankan hak orang Melayu dan berlaku adil kepada kaum lain juga," katanya.

Jangan kompromi - UMNO digesa tidak terus tunduk pada tuntutan jejas kuasa, hak Melayu


JOHOR BAHRU 3 Mei – Apa jua usaha memulihkan kembali Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO hendaklah dilakukan tanpa kompromi terhadap kuasa dan hak Melayu.

Beberapa peserta Kongres Permuafakatan Melayu yang ditemui berpendapat UMNO tidak perlu terus tunduk kepada permintaan rakan komponen BN yang lain kerana tuntutan-tuntutan itu tidak akan berakhir.

Setiausaha Satu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 sedang menyaksikan politik toleransi mengambil tempat dalam BN.

“UMNO dalam BN akan tawar-menawar (dengan komponen lain). Semasa UMNO kuat, ia mampu pertahan semua milik Melayu, tetapi banyak perkara berlaku dalam masa UMNO tidak kuat.

“MIC dan MCA secara terbuka meminta pelbagai perkara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu pun cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Kongres Permuafakatan Melayu, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, sesetengah orang melihat usaha memulihkan kembali BN pada masa ini mungkin boleh dilakukan dengan mendengar tuntutan kaum Cina dan India.

Bagaimanapun katanya, sebahagian besar tuntutan itu mungkin bertentangan dengan hak dan keistimewaan orang Melayu.

“Tuntutan akan terus berlaku atas kepentingan kaum,” katanya.

Beliau berkata, tindakan memohon maaf oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai isu keris Panca Warisan baru-baru ini juga secara tidak langsung memperlihatkan hak Melayu terhakis akibat tekanan dan permintaan daripada kaum lain.

“Ini semua berlaku (permohonan maaf) di kala tuntutan semakin kuat dan kita terperangkap dalam tuntutan-tuntutan itu,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman pula berkata, apabila ada kompromi dalam perkara-perkara pokok hak Melayu, maka lama-kelamaan hal-hal kecil pun akan dituntut.

“Ini hanya meletakkan orang Melayu dalam keadaan tidak selesa dan menjadikan mereka tidak penting lagi walaupun orang Melayu adalah kaum asal di negara ini.

“Malaysia bukan negara imigran seperti Amerika Syarikat. Maka hak penduduk asal tidak boleh dipersoalkan,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Anak- anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Al Habshee berpendapat, perlu ada usaha untuk mendidik generasi muda pelbagai kaum di negara ini mengenai pengertian sebenar kontrak sosial.

“Pendidikan kita tidak menekankan hal-hal berkaitan kontrak sosial dan ini perlu diajar supaya mereka mengetahuinya,” katanya.

Katanya, apabila kaum bukan Melayu memahami kontrak sosial berkenaan, maka tidak akan wujud permintaan-permintaan yang luar biasa dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Kongres syor 5 langkah jaga hak Melayu

Oleh LUQMAN HAZIQ dan
SAHBULAH DARWI

JOHOR BAHRU 2 Mei – Kongres Permuafakatan Melayu malam ini mencadangkan lima langkah drastik termasuk menubuhkan Majlis Muafakat Melayu (3M) untuk menjaga hal ehwal, hak dan menyelesaikan masalah orang Melayu di negara ini.

Selain penubuhan 3M, kongres itu turut menyarankan dikukuhkan bahasa, budaya dan parti politik Melayu selain mencabar agenda pihak tertentu yang bersikap perkauman.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, pembentukan 3M penting untuk menjadi saluran rasmi bagi orang Melayu kerana unsur perkauman kini semakin menebal dalam masyarakat.

“Walaupun terdapat pihak yang ingin memberi nama lain seperti Majlis Muafakat Orang Melayu, tetapi apa pun nama yang akan diberikan, ia bertujuan menjadi saluran rasmi kepada kita semua.

“Kalau 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam kongres ini dapat memberi sokongan padu, saya rasa tidak timbul masalah (untuk mewujudkan majlis itu),” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Lebih 1,000 aktivis dan cendekiawan Melayu menyertai kongres dua hari itu.

Dalam ucapannya, Ismail turut mencadangkan supaya semua NGO Melayu bersatu dan melaksanakan tanggungjawab menegakkan hak orang Melayu.

Menurutnya, Gapena berpendapat unsur kemelayuan sangat penting dan mendesak dalam pembangunan Malaysia pada masa akan datang.

Selain itu, beliau menyeru semua parti politik Melayu dan bukan Melayu supaya memerangi unsur perkauman yang amat ditakuti oleh semua rakyat negara ini.

Menurut Ismail, unsur-unsur perkauman makin menebal selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kemerosotan prestasi Barisan Nasional.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memerangi dan menghapuskan unsur tersebut.

“Hati bangsa Melayu tidak harus dilukakan. Nampak sangat sikap perkauman dan sikap menghina orang Melayu akan menjadi sangat nyata dan kita perlu menghadapinya,” ujar beliau.

Ismail mengajak orang Melayu mengambil pengajaran di atas kemenangan dan kekalahan sebuah parti Melayu yang telah lama berjasa kepada orang Melayu kerana kini terdapat parti Melayu yang tidak mempunyai pengalaman memerintah masyarakat berbilang kaum yang kompleks.

“Maka, mereka menggunakan kesempatan ini untuk melepaskan geram dan membalas dendam dan ini bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” ujarnya.